Ahad, 27 Februari 2011

Hubungan Makna : Kesinoniman kata 'merawat' dan 'menawari'

Pengenalan
            Dalam bidang Semantik, makna merupakan subjek utama yang dikaji. Menurut Kamus Dewan Edisi Ketiga (2003: 848), makna ialah erti atau maksud bagi sesuatu perkataan.  Dalam kata yang mudah, makna itu ada dibalik kata (A. Cheadar Alwasilah:146). Sehubungan dengan itu, menurut pandangan ahli-ahli bahasa, perkataan adalah unit bahasa yang terkecil yang mengandungi makna (Nathesan. S, 1997: 525).  Dalam hal ini, sebahagian perkataan mempunyai makna dengan perkataan yang lain. Malahan ada yang saling berkongsi dan bertindan makna (Nathesan. S, J, 1997:525). Melalui kata yang berkaitan dengan makna akan membentuk kecil dalam leksikon sesuatu bahasa. Salah satu perkaitan yang utama ialah kesinoniman atau ‘kesamaan makna’ (Adrian Akmajian et al, 2002:234).

Sinonim dan Kesinoniman

Secara etimologi, sinonim berasal dari bahasa Yunani kuno iaitu onoma yang bermaksud nama dan syn yang bermaksud sama. Menurut istilah, sinonim ialah perkataan-perkataan yang mempunyai makna yang sama. Manakala menurut Harimurti Kridalaksana (1984 : 154), sinonim ialah bentuk bahasa yang maknanya mirip atau sama dengan bentuk yang lain. Kesamaan ini boleh berlaku pada kata, kelompok kata atau kalimat, walaupun umumnya yang dianggap sinonim hanyalah kata-kata saja. Selain itu, sinonim juga dieertikan ‘kesamaan makna’ (Palmer F.R, 1989:97). Dalam buku Pedoman Umum Pembentukan Istilah Bahasa Malaysia (1975: 13), sinonim juga dikenali sebagai kesinoniman. Dalam kata yang mudah, sinonim atau kesinoniman merupakan beberapa perkataan yang berkongsi makna melalui ciri-ciri  yang mendasari.

            Walaubagaimanapun, kesamaan makna dalam sesebuah perkataan yang berkongsi makna tetap mempunyai perbezaan. Dalam kata yang lain, tidak terdapat sinonim yang sebenarnya iaitu tidak ada perkataan yang mempunyai makna yang betul-betul sama (Palmer. F, R, 1989 : 98). Menurut Palmer (1989: 98-100), sekurang-kurangnya terdapat lima cara kata-kata yang berkongsi makna mempunyai kata-kata yang berbeza iaitu:

      a.       Pasangan sinonim dari dialek-dialek berlainan dalam bahasa
      b.      Keadaan yang hampir serupa tetapi gaya yang berbeza
      c.       Kata yang berbeza hanya pada makna emotif atau nilaian
      d.      Kata-kata yang berhubungan dengan perkataan lain
      e.       Perkataan yang maknanya berhampiran atau bertindih.

Dalam hal ini, untuk melihat kesinoniman beberapa perkataan  tersebut, teori segi semiotik boleh dirujuk. Melalui tiga eleman yang diperkenalkan iaitu konsep, lambang dan referen dapat memperlihatkan perbezaan dan kesamaan perkataan tersebut. Selain itu juga, Analisis Komponen Makna juga dapat mengariskan perbezaan dan persamaan bagi perkataan yang seerti. Antara tujuannya ialah memperbandingkan sinonim-sinonim untuk melihat perhubungan  antara kata-kata yang bersamaan makna, mengenaralisasikan serta mengklasifikasikan kata-kata dan konsep-konsep (Tarigan, H.G, 1993: 79).

'Merawat' dan 'Menawari'

            Dalam hal ini, dua perkataan yang menarik untuk diteliti melihat kesinoniman kedua-dua perkataan iaitu ‘merawat’ dan ‘menawari’. Menurut Kamus Bahasa Nusantara,(2003: 2232), 'merawat' ialah memberikan penjagaan perubatan supaya sembuh, memelihara, menjaga orang sakit dengan memberikan ubat dan sebagainya. Ia merupakan perkataan hasil daripada proses imbuhan {meN-}. Jika dilihat pada  Kamus Bahasa Nusantara (2003:2232),  kata dasar bagi “merawat” ialah rawat yang bermaksud pelihara, urus dan jaga. Perkataan ‘rawat’ dan ‘merawat’ merujuk kepada golongan kata kerja.
Seterusnya menurut Kamus Bahasa Nusantara (2003:2737 ),  kata dasar bagi perkataan “menawari ialah  tawar yang bermaksud tidak merasa apa-apa atau tidak ada rasanya seperti kurang manis atau kurang masin. Selain itu, tidak manjur (tentang guna-guna, mentera, ubat dsb). Ia juga merujuk sesuatu yang tidak manis atau tidak pahit. Ini sejajar dengan pengertian dalam Kamus Seerti Bahasa Melayu ( 2001: 230), tawar bermaksud hambar atau payar. Kata dasar menawari iaitu tawar merujuk pada kata adjektif.  Namun demikian, setelah mengalami proses pengimbuhan  {meN-....-i }, kata dasar “tawar” berlakunya perubahan pada pengolongan kata sebagai kata kerja iaitu {meN+tawar+i}. Menurut Kamus Bahasa Nusantara (2003:), menawari bermaksud mengubati dengan air dan sebagainya yang sudah dijampi (dimanterai, dsb), membuang racunnya atau bisnya  atau menunjukkan sesuatu kepada seseorang (dengan maksud supaya dibeli, disewa, dll). Dalam dialek Melayu Brunei, perkataan 'menawari' lebih merujuk kepada menjampi (Kamus Bahasa Melayu Brunei, 2007: 326).

Analisis Hubungan Makna ‘merawat’ dan ‘menawari’

Sehubungan dengan itu, perkataan 'merawat' dan 'menawari', seringkali digunakan dalam aktiviti kehidupan manusia. Bagi masayarakat Melayu Brunei, 'menawari' merujuk kepada satu tindakan seorang bomoh yang dikenali orang pemandai menyembuhkan seseorang dengan cara tradisional. Manakala, 'merawat' lebih digunakan bagi tindakan seorang profisen doktor menyembuhkan penyakit dengan cara yang moden. Dalam hal ini, pengkaji mendapati adanya  hubungan dua hala di antara kedua-duanya kerana dua perkataan ini mempunyai makna yang kurang lebih sama.  Kata 'merawat' bersinonim dengan kata 'menawari'. Begitu juga dengan kata 'menawari' bersinonim dengan kata 'merawat'. Hubungan makna diantara kedua-dua kata ini dapat digambarkan seperti berikut:- 


Kata-kata dalam rajah di atas mempunyai makna yang kurang lebih sama. Dengan erti kata lain, dua buah kata yang bersinonim itu tidak seratus peratus mempunyai kesamaan.  Kesamaan dalam dua buah kata ini tidak bersifat mutlak. Dalam prinsip umum semantik ada menyatakan bahawa apabila bentuk berbeza maka makna pun akan turut  berbeza (Jaludin Chuchu, 2010:73) . Demikian juga halnya dengan kata-kata yang bersinonim, kerana bentuknya berbeza maka maknanya pun berbeza. Ini dapat dilihat melalui Teori Segitiga Semiotik, seperti berikut:-


Konsep
Lambang
Referen
membuang sesuatu yang tidak baik
Merawat
- Memberikan penjagaan perubatan (pembedahan) supaya sembuh.
Menawari
-Mengubati seseorang dengan air  dan sebagainya yang sudah dijampi.
-Membuang racun/bisa


Dengan merujuk rajah di atas maka jelaslah gambaran yang dinyatakan dalam semantik itu. Walaupun konsep yang disampaikan itu sama iaitu membuang sesuatu yang tidak baik. Konsep ini merupakan ciri dominan yang menyebabkan kata-kata ini mempunyai makna yang sama. Namun ia tetap juga mempunyai bentuk yang berbeza. Bentuk atau  referen bagi dua buah perkataan ini berbeza. Dari rajah di atas jelas menunjukkan yang 'merawat' itu dilakukan untuk menyembuhkan seseorang dengan cara moden namun 'menawari' menyembuhkan seseorang dengan cara tradisional iaitu dengan membaca jampi serapah. Begitu juga dengan lambang (kata/leksem) bagi dua buah perkataan ini. Lambang kata bagi 'merawat' ialah <merawat> manakala lambang kata bagi 'menawari' ialah <menawari>. Dalam kata yang lain, perkataan 'merawat' dan 'menawari' mempunyai persamaaan dan perbezaan.

a.      Persamaan 'merawat' dan 'menawari'

Lantaran daripada itu, untuk melihat persamaan makna atau perkongsian makna antara merawat dan menawari, dapat dilihat dengan menggunakan Analisis Komponen Makna. Melalui teori itu, dapat melihat ciri-ciri yang tertentu dari makna yang sama. Ini dapat dilihat dibawah:-



Komponen Makna
Merawat
Menawari
Menghilangkan sesuatu atau membuang sesuatu yang tidak baik.
Menyembuhkan penyakit
+


+
+


+


Melalui [+] pada perkataan ‘merawat’ dan ‘menawari’, ia berkongsi makna iaitu menghilangkan sesuatu atau membuang sesuatu yang tidak baik. Ini dapat dilihat pada contoh dibawah:-

1a) Doktor Azmi sedaya upaya merawat kanser paru-paru pesakitnya.
1b) Pak Mat menawari bisa kaki Ali yang dipatuk ular

Melalui dua perkataan ini, adanya maksud yang sama. Bagi contoh (1a), 'merawat' itu merujuk kepada perbuatan membuang atau menghilangkan sesuatu yang tidak baik iaitu kanser paru-paru. Manakala, pada contoh kedua, juga memperlihatkan tindakan menbuang sesuatu yang memudaratkan diri iaitu membuang bisa ular. Justeru itu, kedua-dua perkataan ini mempunyai satu tujuan yang sama iaitu membuang atau menghilangkan sesuatu.

Walaubagaimanapun, kedua-dua ayat perkataan ini tidak dapat ditukar ganti. Ini dapat dilihat contoh dibawah:


2a)* Doktor Azmi sedaya upaya menawari kanser paru-paru pesakitnya
2b)* Pak Mat merawat bisa kaki Ali yang dipatuk ular

Melalui contoh (2a) dan (2b), memperlihatkan persamaan maksud yang ingin disampaikan iaitu ingin menyembuhkan tetapi untuk penerimaan pengguna, ia tidak sesuai. Ketidaksesuaian akan dijelaskan dibawah.

a.      Perbezaan 'merawat' dan 'menawari'

Selain daripada kesamaan, kedua-dua perkataan ini juga mempunyai perbezaan yang mencirikan sesebuah itu menjadi sinonim yang tidak mutlak. Ini dapat dilihat melalui rajah di bawah:-



Komponen Makna
merawat
Menawari
Membaca mantera
Menggunakan teknologi
-
+
+
-           



Melalui rajah di atas, memperlihatkan perbezaan yang menjadikan sesebuah perkataan itu tidak dapat ditukar ganti sekalipun mempunyai makna yang sama. Komponen membaca mantera [-] bagi 'merawat', manakala [+] bagi 'menawari'. Jika dirujuk pada contoh (1b), menunjukkan kemungkinan besar, sipelaku itu melakukan dengan menjampi serapah. Ini kerana dalam pemikiran atau mind set orang Melayu khususnya Brunei, 'menawari' itu berkaitan dengan bacaan mantera. Ini berkaitan rapat dengan budaya orang Melayu Brunei dahulu percaya dengan kuasa lain. Kelainan itu, dapat dilihat pada contoh dibawah:

3a) Nini Aji menawari air penatap untuk cucunya yang lamah semangat
3b) * Nini Aji merawat air penatap untuk cucunya yang lamah semangat

Melalui contoh diatas, memperlihatkan perkataan menawari pada contoh (3a) tidak dapat diganti dengan perkataan merawat seperti contoh (3b). Menawari yang dimaksudnya ialah memberikan satu kuasa  dengan membacakan ayat-ayat yang magis pada air tersebut untuk menaikan semangat. Alat-alat yang digunakan oleh dukun atau bomoh ialah bahan-bahan alamiah seperti daun, akar pokok, air sungai dan sebagainya.

Begitu juga dengan contoh (1a), ada menunjukkan kemungkinan besar, sipelaku menyembuhkan penyakit itu dengan melakukan pembedahan dan memberikan ubat. Dalam kata lain, merawat ini khusus kepada kehidupan teknologi. Perbezaan ini dapat dikuatkan lagi dengan contoh dibawah:-

4a) Dr Amir berjaya merawat penyakit Aiman dengan melakukan pembedahan
4b) * Dr Amir berjaya menawari penyakit Aiman dengan melakukan pembedahan

            Melalui contoh (4a) dan (4b), memperlihatkan adanya ketidak sesuaian pemilihan kata disana iaitu merawat dan menawari. ‘Merawat’ ini lebih merujuk kepada penyembuhan yang memerlukan alat bantu moden seperti pil, alat-alat pembedahan dan sebagainya.

Dapatan Analisis

Melalui contoh-contoh diatas yang diberikan memperlihatkan bahawa adanya satu faktor yang menyebabkan dua perkataan yang bersinonim tidak dapat diganti atau ditukar. Diantaranya ialah faktor bidang kegiatan. Daripada beberapa contoh yang telah dikemukakan diatas, pemilihan kata yang besesuaian adalah berdasarkan konteks ayat. Perkataan ‘menawari’ lebih khusus kepada pergaulan masyarakat khususnya masyarakat yang percaya dengan kuasa lain. Ini kerana 'menawari' berkait dengan mantera, jampi dan serapah. Dari segi gramatis tidak salah namun agak tidak sesuai. Lazimnya 'menawari' itu digunakan bagi bomoh atau dukun yang mengubati pesakitnya.

Manakala perkataan ‘merawat’ lebih khusus kepada bidang kedoktoran dan jururawat. Dalam kata lain bidang perubatan dan kesihatan. Malahan berkait rapat dengan alat-alat teknologi seperti mesin pembedahan, ubat-ubatan dan sebagainya. Memang ayat contoh (2a) itu tidak salah, tetapi ganjil dari segi pemilihan kata, merawat itu khusus bagi bidang kedoktoran.

Kesimpulan

Secara kesimpulannya, kedua-dua perkataan iaitu ‘menawari’ dan ‘merawat’ mempunyai persaman iaitu membuang sesuatu atau menghilangkan sesuatu yang tidak baik, tetapi ia tetap ada perbezaan yang amat ketara. Ini menyebabkan dua perkataan itu tidak dapat diganti. Melalui penelitian dua perkataan ini membuktikan bahawa perkataan-perkataan yang dikatakan bersinonim itu tidak secara mutlak. Dalam kata lain, tidak ada perkataan yang seratus peratus sama ciri-ciri tersebut. 


Rujukan



A. Cheadar Alwasilah . (1983). Linguistik Suatu Pengantar. Bandung: Angkasa
Abdullah Hassan  & Ainon Mohd. (1995). Kamus Sinonim Antonim Melayu Utusan. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd.
Abdullah Hassan & Ainon Mohd. (2001). Kamus Seerti Bahasa Melayu. Kuala Lumpur : PTS      Publications & Distributors Sdn.Bhd
Abdullah Hassan. (2007) . Linguistik Am. Kuala Lumpur : PTS Professional.
Adrian Akmajian., et.al. (2002). Linguistik : Pengantar Bahasa dan Komuniksi. Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka
Aminuddin. (Dr). (1988). Semantik : Pengantar Studi Tentang Makna. Bandung : C.V Sinar Baru
Haji Zainal Abidin bin Safarwan  & all. (1984). Kamus Sinonim lengkap dengan Rangkai Kata. Kuala Lumpur : Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd
Harimurti Krisdalaksana. (1984) . Kamus Linguistik. Jakarta: Penerbit PT Gramedia
Jaludin Chuchu. (2010). Menyelusuri Makna. Universiti Brunei Darussalam
Nathesan, S. (1997). Semantik Dalam Bahasa Melayu : Satu Pandangan dalam Jurnal Dewan Bahasa Jun 1997. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Palmer, F.R. (1989).  Semantik. Terjemahan Abdullah Hassan. Kuala Lumpur : Dewan bahasa dan Pustaka
Kamus Bahasa Melayu Nusantara. (2003). Brunei: Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Bahasa Melayu Brunei. (2007). Brunei : Dewan Bahasa dan Pustaka
Kamus Dewan (Edisi tiga). (2002). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Catat Ulasan